...sekolah kehidupan..

Saturday, January 19, 2013

Untuk uwais dan ayah [dua]

Ia adalah sambungan. dari tulisan lalu. sila klik disini.


"Anak,
Saya mencoret ini supaya saya tidak lupa. Anda tidak lupa, dan ayah juga tidak mungkin lupa ini. Kerana ia adalah tentang bagaimana ayah menunggu anda dan saya berjuang untuk anda.

Saya menulis supaya sekali lagi saya tidak lupa bagaimana nikmat nya Tuhan beri pada saya ketika itu.
Jadi, mungkin insyaa Allah pabila anda besar dan boleh membacanya. Silalah membacanya. Ia sejarah"

......

Awak sekarang lagi tidur. Lalu Saya menyambung kisah. [kehidupan saya sekarang seolah tiada siang dan malam. Semuanya sama. Awak menukar waktu saya secara banyak dan tidak mungkin akan pernah berulang lagi ke zaman hidup saya dan ayah sahaja saat itu]
.....

Bila jururawat itu berkata orang lain yang sudah terbuka laluan sebanyak enam sentimeter itu sudah meraung bagai. Hati saya Cuma boleh menjawab ini:

Menangis pun tidak berguna.
Sakit ini tidak boleh diganti dengan air mata. Air mata darah pun tidak boleh ditukar ganti dengan kontraksi bersalin.
Dan anak, jika awak dipanjangkan umur dan berkahwin dan saat awak memilih pilhan hidup awak. Saat isteri awak itu mahu bersalin ucapkan lah apa yang saya ucap ini padanya. 

Jika awak meraung sekuat mana pun dan awak menangis sekuat mana pun ia tidak akan menghilangkan sakit itu dan tidak mendefinisikan sakit itu secubit pun.
Ia Cuma meresahkan hati orang lain sahaja ketika melihat keadaan awak jika awak menangis meraung sakit kontraksi mahu bersalin.

Malah menyesakkan hati sang doktor yang merawati anda. [anak, belajar lah ini. memudahkan orang lain. Orang lain memudahkan anda. Dan belajar juga mengawal rasa di saat-saat genting]
Maka.

Lebih baik diam dan berzikir. Memohon ampun pada Tuhan. Dan membaca segala surah yang awak tahu. Apa sahaja. Kerana saat itu saya berasa tidak ada yang lebih memahami dan mengetahui selain sang Pencipta kita.
Saat saya sebelum di bawa ke dewan bersalin, lalu di depan saya adalah wanita hamil yang di usung terus diatas katilnya kerana tidak mampu turun menaik kerusi roda untuk ke dewan bersalin. 

Katilnya di tolak di depan saya. Dia menangis kuat. Sungguh saya ketakutan melihat dia. Saya bertanya pada diri saya, adakah saya akan bersakitan begitu kan nanti saat kelahiran yang mendekat?
Dia menangis dan meraung kuat di selang seli dengan menyebut. 'Allaaaaaaaaaaaahh....Allaaaaahh" .
Saya takut. Sungguh takut. Takut saya sakit begitu. Tapi saya tahu. Ia memang MENYAKITKAN.
......

14 januari 2013. Jam 7.30malam.
Ayah awak memnita izin saya untuk solat maghrib. Dia mahu pergi ke surau bawah untuk solat Maghrib. Saya izinkan dalam kesakitan di kerusi. Saya tidak mampu menaiki katil. Saya tetap di kerusi roda itu. saya tidak lah mahu melangkah turun lagi. rela saya berteleku disitu dengan mengenggam apa yang boleh di genggam seeratnya.
Saat itu kontraksi hebat!

Terus saya memanggil ayah awak supaya jangan tinggal saya. Dan dalam masa yang saya jururawat datang dan memberitahu saya dan ayah awak supaya bersedia ke dewan bersalin sekarang.
.........

Saya di bawa ke bilik rawatan doktor terlebih dahulu untuk dipecahkan air mentuban. Ketika itu kontraksi masyaAllah. Masakan mahu menaiki katil juga mengambil masa yang lama untuk menaikkan kaki ke atas katil. Sungguh pun katil yang saya pinta adalah katil yang rendah. 

Naik atas katil satu hal. Nak berbaring satu hal yang lain. Ia sesuatu yang awak perlu tahu wahai anak. Ia sukar. Sukar. Dan sukar.
Sepanjang saya menerima rawatan. Doktor yang saya request adalah perempuan. Dan ia di penuhi. Memang akan dipenuhi. Jadi. Anak, anda cuba juga memahami situasi saya yang sedang bersakitan.
Tidak lah saya mahu tangan-tangan lelaki yang ada dan yang kasar. Yang besar itu memeriksa laluan saya di saat kontraksi kuat di tambah kesakitan di semak baki laluan yang tinggal.
Ia menyakitkan.
........

14 januari 2013 jam 8.00 malam
Ayah ada bersama saya. Sehingga di bawa ke dewan bersalin [Labour Room]. Jururawat yang menyorong kerusi roda yang dinaiki saya mengarahkan ayah awak mendaftar dan menandatangani bborang untuk menemani isteri di dalam dewan bersalin.

Anak.
Ayah pada masa ini dan pada masa bila-bila pun adalah sumber semangat saya yang tidak ada galang ganti. Saya berharap seandainya awak menjadi lelaki yang dewasa nanti jadilah sepenyabar ayah.

Saya ke dewan bersalin. Bilik bernombor lima.
Anak, Saya melihat. Ada satu katil sahaja. Ia untuk saya. di sebelah kanan saya alat untuk mengesan kadar bacaan jantung awak. Dan disebelah kiri ada satu alat yang saya tidak tahu apakah. Ada alatan lain. Tapi bilik itu tidak terlalu luas. Cukuplah untuk empat senior sister baik merawat saya. Baik dan memberi banyak nasehat berguna saat kesakitan kerap datang.

[anak, lihat budaya kerja disini. Lihat akhlak. Lihat integrity. Lihat layanan orang saat bekerja. Lihat cara dan lihat percakapan orang pada kita]
.......

Awak tahu?
Mari belajar ini.
Saat kita sedang kesakitan apa yang kita perlukan adalah ucapan yang baik.
[andai awak menghadapi ini, ucaplah, pujuk lah, nasihatilah dengan ucapan bagus didengari menenangkan orang]
....
Saat kita berasa sungguh tidak tertahan akan kesakitan yang kita alami itu, kita mengharapkan orang disekeliling memahami kita
[Andai awak orang sekeliling itu, awak fahami lah dia]
...
Saat sakit yang terlalu. Kita perlukan sokongan moral dari yang ada di dekat-dekat kita apalagi yang merawati kita.
[Andai awaklah nanti menjadi orang yang merawati itu berlemah lembut lah. Ia adalah PAHALA yang tidak ternilai yang Tuhan akan beri pada awak]
......
Terima kasih jururawat mulia. Hebat anda bersabar dengan semua karenah. Pada tangan anda Allah kurnia tangan yang merawat dan memberi kesembuhan. 
Terima kasih. Allah sentiasa memudahkan urusan saya. Syukur.

Anak,
Di dalam bilik itu. saya perlu berbaring dalam posisi empat puluh lima darjah diatas katil dan alat mengesan bacaan kadar degupan jantung awak di pasangkan di perut saya.
Saya pula asyik bertanya sister yang bertugas.
Boleh panggil suami saya?
Boleh. Suami puan sedang mengisi borang untuk menemani puan. Sabar ya.
Baik. Terima kasih nurse.

[anak. Saat sakit begini saya masih tidak lekang berucap terima kaseh pada jururawat. Kerana kondisi saya. kondisi awak adalah bermula dari jari jemarinya yang merawat awak dan saya. tahu? Maka. terima masih pada yang menolong kita. jangan lupa ini]
.......

Anak.
Ini lah seribu sakit menajdi satu sakit.

Setiap lima minit sekali. Jemari ayah awak saya akan genggam sekuatnya. Saya memberitahu dia perlahan. Saya sakit. Ayah seperti biasa menjawab lembut pada saya.
Iye. Iye. abang tahu. sayang kena kuat. Sayang kena kuat ya. 

Dan. Saya keletihan amat. Mengantuk!
Saya meminta izin doktor perempuan muda berbangsa cina. Dia kecil sahaja orangnya.
Doktor. Saya mengantuk. Boleh saya tidur?
Mahu tidur? Jangan lah. awak perlu sedar.
........
Saat saya menahan ngantuk yang terlalu.
Saat lima minit sekali kontraksi hebat seribu sakit menjadi satu datang.

Saya mengatakan ini pada ayah awak.
Maafkan saya. Maafkan semua salah saya. maafkan kesemuanya ya.
Terasa mata berair bukan sebab sakit terlalu. Tapi sebab sedih terfikir akan khilaf banyak dengan suami yang tidak sedar atau sedar.
Saat itu teringat ada kata tajam atau tertinggi suara
Saat itu teringat ada keperluan yang tidak tersedia molek dan tidak terjaga
Saat itu berasa takut andai suami menyimpan sikit terasa dihujung hati yang tidak dilepaskan.
Saya ulang sekali lagi. 
Air mata jatuh laju terasa sedih benar. Dan sakit itu seolah tidak ada.
....
Abang maafkan sayang untuk semua perkara. Yang dulu-dulu sehingga sekarang ini.
Ayah awak merenung mata saya. Dia ucap ini, perlahan ditelinga saya.
Tidak ada apa yang perlu abang maafkan. Semua nya sudah dimaafkan. Tidak ada apa yang salah. Dan abang juga meminta maaf untuk salah abang ya?
Saya angguk. Dan dia maseh mengulang ini. sayang kena kuat. Kena kuat tahu?
Saya angguk lagi
Dan anak.
Ayah tidak lupa menasihati anda.
Dia mengucapkan ini pada perut saya.
Uwais. Uwais kena tolong ibu. Uwais juga kena kuat. Uwais kena tolong ibu ya.

........
[anak, saya menulis perenggan ini saya menangis teringatkan hal ini. Air mata saya masih bila-bila boleh keluar teringatkan ini.]
[Ayah sudah tidur keletihan saat ini. semalamam dia tidak tidur dan seharian ini dia menyelenggara kelengkapan pendawaian rumah baru kita yang bakal kita duduki usai pantang saya]
[anak, jadilah lelaki yang berhati lemah lembut seperi ayah. saya sentiasa doakan awak sepenyabar ayah]

......
Saya berasa mengantuk tidak tertahan. Keletihan.
Lalu saya meminta izin senior sister yang masuk. Saya mahu tidur sekejap boleh tak?
Sister itu memberi izin. Tidur lah. tapi saya rasa puan mesti tidak boleh tidur. Saya angguk.
Dan. Saya terpejam mata. Dan terjaga lagi lima minit kemudian. Saat kontraksi hebat yang seperti nyawa dihujung-hujung datang saya terjaga. Begitulah.

...
Anak, saat Ayah saya sentiasa di sebelah saya.
Saya mendengar ayah berzikir dan saya meminta supaya kuatkan sedikit biar saya dengar jelas. Saya mahu ikut.
Dia beristighfar berulang-ulang. Saya mengikutinya. Di baca apa sahaja. Saya ikut dia. Dia membaca zikir syifa saya juga membacanya. Dia membaca surah insyirah saya juga. dia membaca ayat kursi. Saya juga.
Tapi di dalam hati saya. saya berasa anda. Anak, awak sudah mahu keluar...

.....
14 januari 2013. Jam 10 malam.
Bukaan laluan sudah Sembilan sentimeter.
Sister empat orang yang baik hati itu terperanjat melihat saya. mereka ucapkan ini. puan? Ini anak sulung kan?
Ya nurse.
Bagus. bukaan awak sangat cepat. Dari enam kepada Sembilan. Dan tidak semuanya orang begini. Kadangnya puan sesetengah orang tunggu sampai besok tengahari.
Saya tidak mahu tahu itu. saya tidak sempat mahu fikirkan itu.

......
Jam 10.30 malam.
Kontraksi makin hebat. Kesakitan itu Sehingga awak berasa adakah saya hidup lagi? atau saya sudah dimana?
Bila saya kata saya mahu meneran sekarang. saya sudah berasa mahu.
Dan sister itu katanya satu jam satu sentimeter ya. Jangan dulu. Saya tidak mahu memaksa anak keluar. Biar bukaan menajdi 10 sentimeter.

.....
Saya genggam tangan ayah awak. Kuat. Saya berasa lengannya berbekas. Berbekas dengan jari saya. kuat menggenggam dan menekan setiap lima minit yang keras. Setiap siapa dari kita memerlukan sokongan.
Saat itu masih saya boleh berfikir. Bagaimanakah yang bersalin tidak ditemani suami. Satu-satunya insan yang kita ada sebagai waris sah anak kita.
....
Saya memberitahu ayah. Saya sudah mahu bersalinkan awak. Ayah kata nanti. Kita tunggu jam sebelas.
Ayah memantau kadar denyutan jantung awak. Ada bacaan graf turun naik disitu. Kita tunggu bacaan graf itu betul-betul naik. Tanda awak juga sudah mahu menolak keluar.
.....
Saya dongak tengok jam di atas kepala dinding. Ah. Lima minit nak ke sebelas itu seakan lama dan panjang bertahun. 
Bersambung. .

0 comments :


iman dan ulam..begitu dasyat kah?